KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan PenerbanganAwam (DCA) Datuk
Azharuddin Abdul Rahman memaklumkan laporan berkenaan penemuan beberapa objek
yang didakwa milik pesawat MH370, belum disahkan secara rasmi.
Beliau menjelaskan bahawa operasi mencari dan
menyelamat memerlukan bukti yang kukuh sebelum membuat rumusan mengenai apa
yang berlaku ke atas pesawat tersebut.
"Ada pelbagai laporan terlihat objek
termasuk dakwaan terlihat objeck berupa bahagian dalam pintu pesawat.
Bagaimanapun laporan itu tidak disahkan oleh pihak berkuasa Vietnam.
"Kami telah menghubungi pihak berkuasa
Vietnam semalam, dan mereka telah sahkan tidak mengesan apa-apa objek
sedemikian. Oleh itu kami tidak dapat memaklumkan bahawa objeck tersebut telah
dikesan," jelas Azharuddin.
Beliau juga memaklumkan, pihak Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut mengesan tumpahan minyak di Laut
China Selatan.
Katanya APMM telah pun menghantar sampel
tumpahan itu ke makmal untuk dianalisis, dan keputusan analisis itu akan
diberitahu kelak.
Sementara itu, pihak DCA juga tidak akan
mendedahkan apa-apa maklumat mengenai dua individu yang menaiki pesawat MH370
menggunakan pasport curi kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan.
"Saya tidak akan mendedahkan terlalu banyak
maklumat berkenaan dua penumpang itu kerana mereka di bawah siasatan, dan
apa-apa maklumat yang saya berikan boleh menjejaskan siasatan yang sedang
dijalankan," tegasnya.
Penerbangan MH370 itu disahkan DCA sebagai
hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sebelum itu, MAS dilapor berkata pesawat itu
terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi.
Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227
penumpang dan 12 anak kapal berkenaan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30
pagi Sabtu.
Operasi mencari dan menyelamat pesawat itu telah
masuk hari ketiga, namun ia masih gagal dikesan.